BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

25 June 2009

Poligami suatu “penyakit genetik”?

Penyakit genetik ini bukan bermaksud poligami itu suatu penyakit seperti asma, rabun mata, sakit jantung dan sebagainya. ‘Penyakit genetik’ itu metafora kepada sesuatu faktor sahaja.




Bukanlah tujuan penulisan ini untuk menjijikkan poligami kerana ianya dibenarkan dalam syariat Islam. Namun apa yang pasti, saya sekadar mahu mencari penyebab kepada seseorang itu berpoligami.

Adakah poligami atau kahwin lebih dari satu kali adalah penyakit genetik? Itu cuma hipotesis saya. Betul atau salah, anda yang tentukan.

Sebelum anda bergelak ketawa dengan hipotesis saya ini, jom kita baca dulu cerita dibawah ini. Ini bukan cerita sang penglipur lara, bukan jua cerita dari mana-mana novel. Ini cerita benar-benar berlaku. Maknanya, ia realiti, bukan fantasi saya semata-mata.

Ahmad (nama dan alamat sebenar dirahsiakan) ialah seorang yang membesar di kelilingi oleh orang-orang yang berpoligami atau berkahwin lebih dari sekali.

Ibunya pernah bercerita kepadanya, moyangnya dahulu suka berkahwin. Apa maknanya itu? Adakah moyangnya suka kerana dapat berkahwin, atau ada makna lain disebalik perkataan ‘suka’ itu?

Tentu sekali moyangnya bukan seronok kerana dapat berkahwin, tapi moyangnya berkahwin dalam bilangan yang banyak. Mungkin lebih dari 10 kali. Siapa tahu, mungkin moyangnya ada ilmu pengasih. Mahu belajar ilmu pengasih? =p

Ayah kepada ibunya, yakni datuknya juga berkahwin sebanyak dua kali. Ibunya mempunyai lima orang adik beradik. Kakak sulung kepada ibunya juga dimadukan. Adik-beradik yang keduanya juga berkahwin dengan tiga orang wanita.

Disebelah ayahnya pula, ayah kepada ayahnya, yakni datuknya juga berkahwin sebanyak dua kali. Dan akhir sekali, ayah Ahmad juga berpoligami. Ayahnya pernah berkahwin dengan tiga orang wanita termasuk ibunya.

Sebab itulah dikatakan poligami itu ‘penyakit genetik’ kerana dalam suatu keluarga itu terdapat banyak yang berkahwin lebih dari satu.

Kesimpulannya, adakah Ahmad juga akan berkahwin lebih dari sekali?

Nak kata ya atau tidak, anda sendirilah yang memikirkannya.

Apa komen anda?

22 June 2009

Andainya aku...


“Ikhlaskah ibadah yang aku buat ni, atau aku buat kerana perkara lain?”

“Aku nak jadi baik tapi aku selalu buat benda-benda yang Allah dan Nabi larang.”

“Aku buat perkara-perkara maksiat tapi dalam masa yang sama aku solat, puasa dan bersedekah.”

“Aku tahu tujuan aku hidup untuk beribadah kepada Allah dan jadi khalifah di muka bumi ini tapi kenapa aku masih mencari-cari tujuan hidup aku yang lain?”

Pernah tak terfikirkan persoalan-persoalan di atas?

Manusia ini, Allah bagi akal dan nafsu padanya. Dijadikan sebagai makhluk yang mulia dari yang lain. Diberi tugas dan tanggungjawab yang berat. Kelak akan bersoal jawab di Mahkamah Agung di Padang Mahsyar.

Sungguh takut untuk memikirkan tentangnya. Banyak amanah yang tidak tertunai, apatah lagi yang tidak sempurna.

Ketika kecil dahulu, saya selalu terfikir yang indahnya andai saya adalah seekor burung. Hidup mengikut sunnatullah. Diberi nafsu semata, bukan akal.

Dapat terbang bebas di udara. Keluar pada pagi hari mencari makanan. Pulang ke rumah (baca sarang) untuk berehat pada petangnya. Mencari pasangan bukan untuk melepaskan nafsu, tapi sebagai penyambung zuriat agar tidak pupus bakanya.



Sentiasa berzikir pada Pencipta Yang Maha Agung. Matinya, kembali kepada tanah. Tiada hisab dan perhitungan atasnya. Hanya hidup sebagai makhluk Allah yang setia pada tugas dan arahan Allah.

Andai kata saya hanya mahu hidup seperti orang lain yang hanya mahukan kerja yang dia minat melakukannya, isteri yang cantik, anak-anak yang sihat, keluarga bahagia, rumah yang selesa dan hidup yang aman, samakah saya seperti burung tadi?

Kenapa mahukan keamanan dan keselesaan di dunia yang sekejap sahaja jika akhiratlah tempat rehat abadi?

Kenapa mahu hidup seperti burung andai anda adalah manusia yang punya akal, bukan nafsu semata?

Bangkitlah wahai diri. Sedarlah kamu adalah manusia, bukan makhluk seperti burung. Terlalu banyak kerja dan tugas yang perlu dilakukan di dunia ini untuk mendapat rehat dan aman yang abadi di kampung akhirat.

Persoalan yang dikemukakan itu, saya juga selalu memikirkan tentangnya.

Tiada siapa yang dapat membantu melainkan sendiri yang meminta kefahaman dari Tuhan yang Maha Bijaksana.

14 June 2009

Kematian Sheikh Dr. Fathi Yakan

Sheikh Dr. Fathi Yakan

Berita kematian



Ini adalah berita selepas zuhur hari Sabtu 13/6 yg disiarkan di aljazeera.net, qudspress.com, ikhwan-jor.com, almoslim.net dan lain-lain. Beritanya adalah seperti berikut:


Pada pagi Sabtu, Syeikh Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah mana dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di Hospital Otel Deo.


Berita penafian

Berita ini kemudian dinafikan oleh Jabhah Islami yang diketuai oleh Dr Fathi Yakan dan keluarganya. Ia disiarkan dalam alarabiya.com, aljazeera.net, Islamonline.net, alquds.co.uk dan lain. Berita ini adalah setelah 2 jam selepas berita kematiannya. Beritanya adalah seperti berikut:


Pejabat Dr Fathi Yakan telah melaporkan kematian Dr Fathi Yakan. Namun berita ini dinafikan oleh pihak Jabhah Islami yang menyatakan Dr Fathi Yakan dalam keadaan amat kritikal. Pihak hospital enggan memberi ulasan tentang ini.


Sumber terdekat memberitahu bahwa Dr Fathi dalam keadaan “mati katil”. Jantungnya bersambung dengan alat melalui tabung uji. Kesalahan berita disebabkan keengganan untuk mencabut alat ini disaat-saat akhir.


Dalam Hal ini Mufti Tarablas berkata “Tidak ada seorang ulama pun yang memberi fatwa tentang keharusan mencabut tabung uji ini dari pesakit."


Berita terbaru telah melaporkan bahawa keluarga Dr Fathi Yakan menafikan kewafatannya dan menyatakan bahawa beliau dalam keadaan sangat tenat.

Pihak Hospital telah menyatakan bahwa terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau.

Terbaru: Berita pengesahan kematian (3 jam selepas penafian)

Akhbar al-Jazeera menyatakan:

Pada hari ini telah wafat pendakwah Islam Dr Fathi Yakan ketua Jabhah Amal Islami di Lubnan ketika umurnya menjangkau 77 tahun kerana penyakit yang kronik.

Berita kewafatannya telah dilaporkan pada zuhur hari ini kemudian dinafikan oleh keluarganya dan mereka mengatakan ia dalam keadaan kronik. Kemudian berita kematiannya disahkan selepas itu.

Sumber AFP pula menyatakan:

Pihak Jabhah telah menyatakan bahwa beliau telah wafat pada asar hari ini (semalam) iaitu 4.45 petang. Jasadnya akan dipindahkan pada pagi Ahad dari Hospital otel deo (timur Beirut) ke Tarablas di utara Lubnan.

Islamtoday telah menyatakan:

Sebahagian laman web telah melaporkan kematian terlampau cepat (sebelum kematiannya) dan berita ini disahkan palsu sehinggalah datangnya kenyataan rasmi dari pejabat Syeikh Fathi Yakan.

Laman yang di pantau beliau daawa.net telah menyatakan:

Jenazah beliau akan disolatkan pada asar hari Ahad 21 Jamadul Akhir 1430 hijrah di Masjid Tinal dan akan dikebumikan di perkuburan keluarga di Babur Raml.

Ulasan: ini menunjukkan berita kematiannya pada pagi tadi (pagi semalam) adalah tidak betul dan syeikh baru meninggal petang tadi (petang semalam).

Sementara itu pihak HAMAS dan al Qassam di laman webnya telah memberikan ucapan takziah, ia adalah seperti berikut(takziah HAMAS):

بقلوب مؤمنة بقضاء الله وقدره تتقدم حركة حماس من الشعب اللبناني والحركة الإسلامية والأمة العربية والإسلامية بأصدق مشاعر التعزية الأخوية وبخالص المواساة القلبية بوفاة المفكر الكبير والداعية الإسلامي المجاهد الشيخ الدكتور فتحي يكن.


Latar belakang Fathi Yakan


Fathi Yakan dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam (cawangan Ikwanul Muslimin) sehinggalah pada tahun 1992.


Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya'ni intimai lil Islam, al-Mutasiqituna fala toriq Da'wah, kaifu nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku. Beliau telah memantau laman web dakwah.net. Isteri beliau bernama Mona Yakan dan 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.


MOGA-MOGA ALLAH MERAHMATI BELIAU DAN MEMBERI KESABARAN KEPADA AHLI KELUARGA BELIAU.

Al Fatihah untuk beliau..

Rujukan: Laman-laman web yang disebut dalam artikel dan lain-lain.

Kredit: Akhi Salman

11 June 2009

Mahu berbual..

“Apsal kau borak dengan dia, guna ana anta, dengan aku, kau guna aku kau?”, seorang sahabat bertanya kepada saya.

Terkejut saya dengan pertanyaannya. Tidak pernah saya ditanya dengan pertanyaan semacam itu.

Saya belajar di sekolah agama yang mewajibkan penggunaan ana anta ketika berkomunikasi dengan semua orang. Tapi sehingga di tingkatan tiga sahaja. Semua ini menyebabkan saya terpaksa menyesuaikan diri dengan aku kau, ana anta selepas itu.

Mungkin ada yang merasakan bahawa ana anta/anti cuma digunakan untuk orang yang baik sahaja. “Kau guna aku kau dengan aku sebab aku ni nakal sikit kan. Kau guna ana anta dengan dia sebab dia baik sikit kan.” Sahabat tadi menjawab sendiri soalan yang ditanyakan tadi.

Agak serius air mukanya ketika berbual dengan saya. Saya ingatkan soalan gurau senda sahaja.

Bagi saya, ana anta, aku kau, saya awak itu hanyalah bahasa komunikasi. Saya menggunakannya mengikut citarasa dan kesesuaian saya sendiri.

Tidak pernah saya terfikir untuk melabelkan baik atau buruknya perangai seseorang apabila saya berkomunikasi dengan sesiapa. Itu bukan hak saya. Hanya Allah sahaja yang tahu baik atau buruknya seseorang itu.

Bahasa komunikasi seperti ini kadang-kadang menyulitkan saya apabila bertemu dengan sahabat baru. Mahu guna aku kau, bunyinya agak kasar. Mahu guna saya awak, agak lembut bunyinya. Akhir sekali, terpaksa menunggu si sahabat baru tadi memulakan dulu perbualan.

Apa-apa pun, luaskan pergaulan dan tingkatkan seni berkomunikasi anda.


Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Surah al-Hujuraat:11)

05 June 2009

Isteri Muda

Tajuk yang sangat sensitif. Tapi sangat menarik perhatian ramai terutama kaum Adam untuk membacanya..hehe

Sebuah kisah benar, tiada sedikit pun tambahan ‘perisa-perisa’ fitnah didalamnya. (-_-)

Kisahnya bermula apabila seorang isteri dimadukan oleh suaminya. Dia ialah isteri pertama kepada suami tersebut. Suaminya hanyalah bekerja biasa-biasa sahaja. Bukan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri, bukan juga pengarah urusan atau CEO mana-mana syarikat GLC. Apatah lagi menteri. Cukuplah untuk menampung makan minum keluarganya.

Suaminya berkahwin lagi satu. Dia kini bergelar isteri tua. Akibat terlalu marah dan cemburu dengan madunya, dia meminta cerai daripada suaminya. Suaminya pun dengan ‘suka hati’nya menceraikan isteri pertamanya tadi. Proses penceraian tetap berlaku walaupun mereka telah mempunyai 4 orang anak. Maka bergelar jandalah akan dia.



Ditakdirkan Allah yang Maha Kuasa, janda beranak 4 itu tadi dipinang orang. Namun apa yang peliknya, dia menerima lamaran tersebut walaupun orang itu sudah pun beristeri. Maknanya dia pun akan bermadu buat kali kedua. Mungkin kerana orang yang meminangnya itu government servant.

Dengan hati yang gembira dan suka, dia pun bernikahlah dengan orang tadi. Secara tidak langsung statusnya kini ialah isteri muda. Seronoklah dia gamaknya apabila bergelar isteri muda.

Fikirnya, isteri muda akan mendapat layanan istimewa dari suami. Tidak seperti isteri tua yang sentiasa akan di ‘nombor dua’ kan. Macam dalam drama-drama Melayu itulah gayanya. Namun suaminya yang kedua itu tadi melayannya seperti biasa. Bukan seperti yang diharapkannya.

Hairan bin Ajaib juga memikirkan tentang perbuatan perempuan tadi. Sanggup bercerai dengan suami pertama semata-mata tidak mahu bergelar isteri tua. Takut benar dia dengan perkataan tua itu agaknya. Fobia dengan perkataan tua.

Kisah ini benar-benar berlaku dan ditulis untuk dijadikan renungan dan muhasabah buat kaum Hawa. Bukan mahu mengaibkan sesiapa.

Wanita memang sensitif dengan perkataan poligami. Agaknya inilah salah satu sebabnya. Termenung panjang saya dibuatnya apabila mendengar cerita ini.

Anda mahu memberikan komen, silakan. Mahu membangkang atau bersetuju dengan saya pun dipersilakan. Saya sekadar bercerita, mana yang baik jadikan pengajaran, yang tidak elok kita sama-sama buang jauh-jauh.


Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak berpoligami kerana Islam.

Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berpoligami kerana Islam.


Anda mahu berpoligami atau sudah berpoligami kerana sebab apa pula?

Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat zalim.
(Surah an Nisaa’: 3)