11 June 2009

Mahu berbual..

“Apsal kau borak dengan dia, guna ana anta, dengan aku, kau guna aku kau?”, seorang sahabat bertanya kepada saya.

Terkejut saya dengan pertanyaannya. Tidak pernah saya ditanya dengan pertanyaan semacam itu.

Saya belajar di sekolah agama yang mewajibkan penggunaan ana anta ketika berkomunikasi dengan semua orang. Tapi sehingga di tingkatan tiga sahaja. Semua ini menyebabkan saya terpaksa menyesuaikan diri dengan aku kau, ana anta selepas itu.

Mungkin ada yang merasakan bahawa ana anta/anti cuma digunakan untuk orang yang baik sahaja. “Kau guna aku kau dengan aku sebab aku ni nakal sikit kan. Kau guna ana anta dengan dia sebab dia baik sikit kan.” Sahabat tadi menjawab sendiri soalan yang ditanyakan tadi.

Agak serius air mukanya ketika berbual dengan saya. Saya ingatkan soalan gurau senda sahaja.

Bagi saya, ana anta, aku kau, saya awak itu hanyalah bahasa komunikasi. Saya menggunakannya mengikut citarasa dan kesesuaian saya sendiri.

Tidak pernah saya terfikir untuk melabelkan baik atau buruknya perangai seseorang apabila saya berkomunikasi dengan sesiapa. Itu bukan hak saya. Hanya Allah sahaja yang tahu baik atau buruknya seseorang itu.

Bahasa komunikasi seperti ini kadang-kadang menyulitkan saya apabila bertemu dengan sahabat baru. Mahu guna aku kau, bunyinya agak kasar. Mahu guna saya awak, agak lembut bunyinya. Akhir sekali, terpaksa menunggu si sahabat baru tadi memulakan dulu perbualan.

Apa-apa pun, luaskan pergaulan dan tingkatkan seni berkomunikasi anda.


Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Surah al-Hujuraat:11)

No comments: