22 June 2009

Andainya aku...


“Ikhlaskah ibadah yang aku buat ni, atau aku buat kerana perkara lain?”

“Aku nak jadi baik tapi aku selalu buat benda-benda yang Allah dan Nabi larang.”

“Aku buat perkara-perkara maksiat tapi dalam masa yang sama aku solat, puasa dan bersedekah.”

“Aku tahu tujuan aku hidup untuk beribadah kepada Allah dan jadi khalifah di muka bumi ini tapi kenapa aku masih mencari-cari tujuan hidup aku yang lain?”

Pernah tak terfikirkan persoalan-persoalan di atas?

Manusia ini, Allah bagi akal dan nafsu padanya. Dijadikan sebagai makhluk yang mulia dari yang lain. Diberi tugas dan tanggungjawab yang berat. Kelak akan bersoal jawab di Mahkamah Agung di Padang Mahsyar.

Sungguh takut untuk memikirkan tentangnya. Banyak amanah yang tidak tertunai, apatah lagi yang tidak sempurna.

Ketika kecil dahulu, saya selalu terfikir yang indahnya andai saya adalah seekor burung. Hidup mengikut sunnatullah. Diberi nafsu semata, bukan akal.

Dapat terbang bebas di udara. Keluar pada pagi hari mencari makanan. Pulang ke rumah (baca sarang) untuk berehat pada petangnya. Mencari pasangan bukan untuk melepaskan nafsu, tapi sebagai penyambung zuriat agar tidak pupus bakanya.



Sentiasa berzikir pada Pencipta Yang Maha Agung. Matinya, kembali kepada tanah. Tiada hisab dan perhitungan atasnya. Hanya hidup sebagai makhluk Allah yang setia pada tugas dan arahan Allah.

Andai kata saya hanya mahu hidup seperti orang lain yang hanya mahukan kerja yang dia minat melakukannya, isteri yang cantik, anak-anak yang sihat, keluarga bahagia, rumah yang selesa dan hidup yang aman, samakah saya seperti burung tadi?

Kenapa mahukan keamanan dan keselesaan di dunia yang sekejap sahaja jika akhiratlah tempat rehat abadi?

Kenapa mahu hidup seperti burung andai anda adalah manusia yang punya akal, bukan nafsu semata?

Bangkitlah wahai diri. Sedarlah kamu adalah manusia, bukan makhluk seperti burung. Terlalu banyak kerja dan tugas yang perlu dilakukan di dunia ini untuk mendapat rehat dan aman yang abadi di kampung akhirat.

Persoalan yang dikemukakan itu, saya juga selalu memikirkan tentangnya.

Tiada siapa yang dapat membantu melainkan sendiri yang meminta kefahaman dari Tuhan yang Maha Bijaksana.

1 comment:

suarajagat said...

salam..
jom kongsi blog..

blog pertama saya tentang masalah ajaran sesat di malaysia

http://suarajagat.wordpress.com/

dan blog kedua bersifat santai informatif. tentang isu semasa dan hidup seharian..
resipi2 berasaskan coklat juga akan saya paste di sini

http://sitaklukjagat.blogspot.com/

add link dan jadilah follower