
Teringat kenangan ketika bekerja di stesen minyak Petronas selepas habis peperiksaan SPM pada tahun 2006. Sebaik sahaja sampai dirumah dari Kajang, saya berehat 3 hari di rumah sebelum memohon kerja di sana.
Kebetulan tempat kerja yang betul-betul berada berdekatan dengan rumah memudahkan urusan pergi balik tanpa melibatkan sebarang kos. Bekerja 6 hari seminggu dan gajinya yang agak lumayan mendorong minat untuk bekerja di situ.
Pada mulanya, bekerja di stesen minyak Petronas itu agak mudah. Cumanya, kulit mudah gelap dan terpaksa masuk kerja seawal 7 pagi.
Kerja sebagai atendan pam minyak pada hakikatnya juga ada risiko penipuan dan rasuah. Walaupun ianya melibatkan jumlah yang kecil namun hal ini tidak boleh dianggap remeh dan biasa kerana ianya akan mendatangkan ketidak keberkatan pada gaji yang diperolehi.
Penipuan dan Rasuah
Sewaktu mula-mula bekerja disitu, penipuan dan rasuah itu tidaklah begitu dirasai. Akan tetapi setelah masuk bulan kedua bekerja di sana, gejala yang tidak sihat itu agak ketara.
Contohnya; kerajaan tidak membenarkan minyak diesel dijual di dalam tong melainkan mendapat kebenaran dan lesen dari KPDNHEP. Walaupun begitu, ada sesetengah pelanggan yang tidak faham atau buat-buat tidak faham dengan peraturan tersebut. Mereka yang tidak mempunyai lesen ini akan memujuk pekerja di stesen minyak itu dan memberikan sedikit ‘wang saguhati’ kepada pekerja tadi sebagai upah menjual minyak diesel di dalam tong.
Selain itu, ada sesetengah pelanggan seperti polis, pekerja Majlis Daerah dan syarikat-syarikat swasta juga terlibat dalam gejala ini. Tetapi bukanlah dengan cara di atas kerana modus operandinya agak berlainan. Yang sama cumalah dari segi pemberian ‘wang saguhati’.
Dugaan
Bukanlah niat saya hendak memburukkan mereka yang di atas yang terlibat dalam gejala yang tidak sihat itu kerana saya juga pernah terlibat sama.
Semua itu masih lagi segar dalam ingatan saya dan saya telah berusaha untuk tidak lagi terlibat dalam gejala itu. Kadang-kadang, wang dapat mengelabui mata kita dalam soal halal dan haram.
Itulah yang terjadi kepada saya namun saya cepat-cepat tersedar akan perbuatan yang berdosa itu. Setelah 3 bulan bekerja di sana, saya berhenti. Setelah mengagak-agak jumlah yang saya terima dari perbuatan itu, saya mengasingkan jumlah itu tadi dari duit gaji saya. Dan duit yang telah diasingkan tadi disedekahkan ke masjid.
Pengajarannya
Apa yang ingin disampaikan disini ialah suatu pengajaran yang sangat berguna buat kita semua. Walau dalam bidang apa sekali pun kita bekerja, anasir-anasir yang berdosa itu tadi akan tetap ada.
Bekerja di stesen minyak bukan sahaja dapat menggelapkan kulit, malah hati turut terkena tempiasnya. Amanah yang kecil tapi gagal disempurnakan. Apatah lagi amanah yang besar. Bimbang jika banyak lagi amanah yang gagal disempurnakan.
Yang pasti, kita punya ilmu dan akal. Mintalah fatwa hati sebelum kita melakukan sesuatu kerana perbuatan yang berdosa itu akan mendatangkan keresahan pada hati orang yang beriman.
Moga-moga Allah mengampuni dosa-dosa saya dan akan terus membimbing dan memberikan hidayahNya kepada kita semua untuk terus berada di atas jalanNya yang lurus.
No comments:
Post a Comment