27 May 2009

Duit & Saya

Sebelum membaca cerita dibawah, baca dulu cerita ini, barulah anda faham cerita saya dibawah ini.

Pepatah ada mengatakan; “Duit bukan segala-galanya, tapi segala-galanya duit”.



Kita sering bermasalah dengan duit. Bagi sesiapa yang merasakan dia tiada masalah dengan duit, alangkah indahnya dunia dia. Ibarat syurga, semua yang diminta akan didapati atau diberi.

Seorang senior saya pernah bercerita tentang konsep ‘Financial Freedom’. Ceritanya lagi, semua orang perlu ada misi dalam hidupnya untuk mencapai konsep itu.

Antara intipati konsep ini ialah, anda bebas melakukan apa sahaja dengan duit anda. Duit bukan lagi satu masalah bagi anda. Tapi yang memberi masalah pada anda ialah, mana lagi aku nak belanjakan duit ini.

Duit antara pencetus masalah paling utama di dunia terutamanya masalah rumahtangga dan jenayah.

Jadi, saya rasa anda semua perlu masukkan lagi satu misi dalam hidup anda. Misi mencapai kebebasan kewangan.

Konsep ini mengambil masa untuk dicapai, bergantung kepada disiplin dan tuah anda dalam urusan kewangan dan ekonomi anda.

Untuk mahu lebih faham akan konsep ini, carilah info dalam internet. Saya bukan pakar dalam hal ini. Sekadar mahu berkongsi salah satu misi dalam hidup saya.

Pakdi.my & zaharuddin.net antara sumber ilmu kewangan saya. Hidup perlulah bijak dalam berbelanja dan mengurus kewangan.

Hidup adalah sebagaimana yang anda tentukan.


"Janganlah kamu takut kepada manusia dalam urusan Allah tetapi takutlah kamu pada Allah dalam urusan manusia."

19 May 2009

Sayang tak?

Manusia sentiasa berhubung dengan hati dan perasaan.

Kitalah manusia itu. Manusia yang tak bisa hidup bersendirian. Bosan dan jemu pasti datang mengganggu andai diri berseorangan.

Oleh sebab itu kita bersahabat, berkawan. Dengan sesiapa sahaja yang kita boleh berkongsi cerita, suka dan duka. Hanya disebabkan mahu menghilangkan jemu dan kebosanan, kita bersahabat, berkawan? Betulkah itu tujuan sebenar kita berkawan?

Seorang kawan saya mengakui yang dia boleh 'mati' kalau berseorangan. Itu hakikat yang saya sendiri tidak nafikan. ‘Mati’ dalam erti kata yang lain, bukan mati pada hakikat sebenar walaupun kita memang benar-benar berseorangan apabila mati kelak.

Jadi, persoalan yang ingin saya lontarkan ialah, sayangkah kita dengan sahabat dan kawan kita? Yang sentiasa solat bersama kita, makan bersama kita dan mungkin yang pernah tidur sebantal dengan kita. Bergelak ketawa bersama-sama, menangis bersama-sama. (T-T)

Pernah tak kita ucap "saya sayang awak" pada sahabat kita? Bukan kepada gelifriend atau buayafriend ye.

Pernah tak ucapkan "apa khabar sayang?" pada sahabat kita? Walaupun mungkin dengan nada bergurau.

Jadi kalau kita tidak pernah ucapkan perkataan sebegitu, adakah itu maknanya kita tidak sayangkan sahabat kita?

Bukan itu yang saya ingin sampaikan. Siapalah kita untuk menilai hati dan budi seseorang. Kita bukan tuhan, kita hanyalah seorang hamba.

Tunjukkan rasa sayang anda pada sahabat anda walau dengan apa cara sekalipun. Mungkin bagi manusia yang berkromosom XY, ianya kelihatan meng’geli’kan untuk ucapkan “saya sayang awak” pada sahabat yang sejantina dengannya.

Oleh itu, luahkanlah rasa sayang dengan cara anda sendiri. Yang penting, anda sayang pada sahabat-sahabat dan orang sekeliling anda yang menyayangi anda walaupun mereka tidak pernah meluahkannya.

Saya.....SAYANG semua sahabat saya.


14 May 2009

Perak oh Perak!!

Cerdik pandai berkata, “Sesuatu peristiwa sejarah mungkin berulang”. Tapi tentulah tidak 100% sama dengan yang asal.

Teringat saya tentang kisah Nabi Allah Sulaiman dan ayahandanya, Nabi Daud a.s. Kisah yang berkaitan dengan pengadilan seorang raja terhadap rakyat jelatanya. Mungkin ramai yang tahu tentang cerita ini.

Alkisah disebutkan bahawa sewaktu Nabi Daud a.s , ayahanda Nabi Sulaiman a.s menduduki takhta kerajaan Bani Isra'il, baginda selalu mendampinginya dalam tiap-tiap sidang peradilan yang diadakan untuk menangani perkara-perkara perselisihan dan persengketaan yang terjadi dalam masyarakatnya.

Baginda memang sengaja dibawa oleh ayahandanya menghadiri sidang-sidang peradilan serta menyekutuinya di dalam menangani urusan-urusan kerajaan untuk melatihnya serta menyiapkannya sebagai putera mahkota yang akan menggantikannya memimpin kerajaan, bila tiba saatnya baginda harus memenuhi panggilan Ilahi meninggalkan dunia yang fana ini. Dan memang Nabi Sulaimanlah yang terpandai di antara sesama saudara yang bahkan lebih tua usia daripadanya.

Suatu peristiwa yang menunjukkan kecerdasan dan ketajaman otaknya iaitu terjadi pada salah satu sidang peradilan yang baginda turut menghadirinya.

Dalam persidangan itu dua orang datang mengadu meminta Nabi Daud mengadili persengketaan antara mereka, iaitu bahawa kebun tanaman salah seorang dari kedua lelaki itu telah dimasuki oleh kambing-kambing ternak kawannya di waktu malam yang mengakibatkan rosak binasa perkarangannya yang sudah disemainya begitu lama sehingga tiba masa menuainya. Kawan yang diadukan itu mengakui kebenaran pengaduan kawannya dan bahawa memang haiwan ternakannyalah yang merosak-binasakan kebun dan perkarangan kawannya itu.

Dalam persengketaan tersebut, Nabi Daud memutuskan bahawa sebagai ganti rugi yang dideritai oleh pemilik kebun akibat kambing-kambing peliharaan tetangganya, maka pemilik kambing-kambing itu harus menyerahkan binatang peliharaannya kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi yang disebabkan oleh kecuaiannya menjaga binatang ternakannya.

Akan tetapi Nabi Sulaiman yang mendengar keputusan itu yang dijatuhkan oleh ayahandanya itu yang dirasa kurang tepat berkata kepada si ayah; "Wahai ayahandaku, menurut pertimbanganku keputusan itu sepatut berbunyi begini : Kepada pemilik perkarangan yang telah binasa tanamannya diserahkanlah haiwan ternak jirannya untuk dipelihara, diambil hasilnya dan dimanfaatkan bagi keperluannya, sedang perkarangannya yang telah binasa itu diserahkan kepada tetangganya pemilik kambing-kambingnya itu untuk disemai dan dirawatnya sampai kembali kepada keadaan asalnya, kemudian masing-masing menerima kembali miliknya, sehingga dengan cara demikian masing-masing pihak tidak ada yang mendapat keuntungan atau kerugian lebih daripada yang sepatutnya."

Keputusan yang diusulkan oleh Nabi Sulaiman itu diterima baik oleh kedua orang yang menggugat dan digugat dan disambut oleh para orang yang menghadiri sidang dengan rasa kagum terhadap kecerdasan dan kepandaian Nabi Sulaiman a.s. yang walaupun masih muda usianya telah menunjukkan kematangan berfikir dan keberanian melahirkan pendapat walaupun tidak sesuai dengan pendapat ayahandanya.




Mungkinkah peristiwa ini berulang dizaman yang serba moden ini? Mungkin di Perak?

Ya, siapa yang tahu akan semua ini.

Kita tunggu dan lihat sahajalah bagaimana krisis "bencana politik" di Perak ini akan diselesaikan.

12 May 2009

Blog Alumni SMAPK

Untuk perhatian semua alumni SMAPK, telah ada web blog untuk kita semua berinteraksi dan berkongsi pandangan dan cerita.

Alamatnya ialah: http://alumnismapk.wordpress.com
Untuk menyumbang sebarang artikel, anda boleh menghubungi Saudara Mohd Hasbie Muda (SPM 2004) di alamat email: tajdid_hyze@yahoo.com

Ayuh sama-sama gerakkan web blog alumni SMAPK.

"Gemilang di dunia, Bahagia di akhirat"

09 May 2009

"Ada masalah tak?"

Siapa yang tidak ada masalah? Semakin kita membesar, masalah kita juga bertambah banyak sama seperti umur kita.

Jadi, jikalau anda rasa yang anda tiada masalah, anda sedang menghadapi masalah besar sebenarnya. Setiap dari kita boleh menyelesaikan sebahagian dari masalah itu sendiri. Namun ada yang dibiarkan berlalu tanpa penyelesaian.

Kadang-kadang, setengah dari kita menganggap masalah besar itu kecil, setengah dari kita pula menganggap masalah kecil itu besar.

Ada yang punya masalah hati dan perasaan, masalah kehidupan seperti kewangan, keluarga, kawan-kawan dan tidak kurang juga masalah akademik. Contoh lain ialah masalah perpecahan rumah tangga:



Oleh itu, jika ada masalah, kembalilah kepada pembuat masalah itu. Yakni Allah. Ingat saja-saja ke Allah ciptakan banyak masalah untuk kita. Maknanya Allah juga menyediakan jawapan kepada segala permasalahan kita itu.

Seorang senior saya pernah bercerita kepada saya tentang salah satu inisiatif yang boleh diambil untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kaedahnya ialah; 'Istikhorah Al-Quran'.

Caranya cukup mudah. Anda cuma perlu membaca surah al-Fatihah dan berselawat sebanyak 11 kali. Kemudian, bukalah Al-Quran secara rawak. Anda akan dapat melihat 2 muka surat Al-Quran. Kemudian, bacalah tafsirnya. Disitulah anda akan menjumpai kunci kepada segala permasalahan anda. Yang penting ialah keyakinan kepada Al-Quran yang memberi petunjuk kepada seluruh alam.

Dan Sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al Quran) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami*; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Al-A'raaf: 52)

* Maksudnya: atas dasar pengetahuan kami tentang apa yang menjadi kemashlahatan bagi hamba-hamba kami di dunia dan akhirat.


Apa yang penting ialah USAHA untuk menyelesaikannya. Bukan berjaya atau gagalnya kita menyelesaikan masalah tersebut.

Sekadar berkongsi cerita. Saya hanya membuka pintu, andalah yang menentukan sama ada untuk masuk ke dalamnya atau pun tidak. Renung-renungkan dan selamat beramal.