14 May 2009

Perak oh Perak!!

Cerdik pandai berkata, “Sesuatu peristiwa sejarah mungkin berulang”. Tapi tentulah tidak 100% sama dengan yang asal.

Teringat saya tentang kisah Nabi Allah Sulaiman dan ayahandanya, Nabi Daud a.s. Kisah yang berkaitan dengan pengadilan seorang raja terhadap rakyat jelatanya. Mungkin ramai yang tahu tentang cerita ini.

Alkisah disebutkan bahawa sewaktu Nabi Daud a.s , ayahanda Nabi Sulaiman a.s menduduki takhta kerajaan Bani Isra'il, baginda selalu mendampinginya dalam tiap-tiap sidang peradilan yang diadakan untuk menangani perkara-perkara perselisihan dan persengketaan yang terjadi dalam masyarakatnya.

Baginda memang sengaja dibawa oleh ayahandanya menghadiri sidang-sidang peradilan serta menyekutuinya di dalam menangani urusan-urusan kerajaan untuk melatihnya serta menyiapkannya sebagai putera mahkota yang akan menggantikannya memimpin kerajaan, bila tiba saatnya baginda harus memenuhi panggilan Ilahi meninggalkan dunia yang fana ini. Dan memang Nabi Sulaimanlah yang terpandai di antara sesama saudara yang bahkan lebih tua usia daripadanya.

Suatu peristiwa yang menunjukkan kecerdasan dan ketajaman otaknya iaitu terjadi pada salah satu sidang peradilan yang baginda turut menghadirinya.

Dalam persidangan itu dua orang datang mengadu meminta Nabi Daud mengadili persengketaan antara mereka, iaitu bahawa kebun tanaman salah seorang dari kedua lelaki itu telah dimasuki oleh kambing-kambing ternak kawannya di waktu malam yang mengakibatkan rosak binasa perkarangannya yang sudah disemainya begitu lama sehingga tiba masa menuainya. Kawan yang diadukan itu mengakui kebenaran pengaduan kawannya dan bahawa memang haiwan ternakannyalah yang merosak-binasakan kebun dan perkarangan kawannya itu.

Dalam persengketaan tersebut, Nabi Daud memutuskan bahawa sebagai ganti rugi yang dideritai oleh pemilik kebun akibat kambing-kambing peliharaan tetangganya, maka pemilik kambing-kambing itu harus menyerahkan binatang peliharaannya kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi yang disebabkan oleh kecuaiannya menjaga binatang ternakannya.

Akan tetapi Nabi Sulaiman yang mendengar keputusan itu yang dijatuhkan oleh ayahandanya itu yang dirasa kurang tepat berkata kepada si ayah; "Wahai ayahandaku, menurut pertimbanganku keputusan itu sepatut berbunyi begini : Kepada pemilik perkarangan yang telah binasa tanamannya diserahkanlah haiwan ternak jirannya untuk dipelihara, diambil hasilnya dan dimanfaatkan bagi keperluannya, sedang perkarangannya yang telah binasa itu diserahkan kepada tetangganya pemilik kambing-kambingnya itu untuk disemai dan dirawatnya sampai kembali kepada keadaan asalnya, kemudian masing-masing menerima kembali miliknya, sehingga dengan cara demikian masing-masing pihak tidak ada yang mendapat keuntungan atau kerugian lebih daripada yang sepatutnya."

Keputusan yang diusulkan oleh Nabi Sulaiman itu diterima baik oleh kedua orang yang menggugat dan digugat dan disambut oleh para orang yang menghadiri sidang dengan rasa kagum terhadap kecerdasan dan kepandaian Nabi Sulaiman a.s. yang walaupun masih muda usianya telah menunjukkan kematangan berfikir dan keberanian melahirkan pendapat walaupun tidak sesuai dengan pendapat ayahandanya.




Mungkinkah peristiwa ini berulang dizaman yang serba moden ini? Mungkin di Perak?

Ya, siapa yang tahu akan semua ini.

Kita tunggu dan lihat sahajalah bagaimana krisis "bencana politik" di Perak ini akan diselesaikan.

No comments: