“Sejak kemunduran berfikir melanda umat Islam dan setelah jatuhnya Daulah Islam pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), keseluruhan negara umat Islam telah diperintah dengan sistem sekular yang berasal dari barat dimana asas/tunjang pemerintahnya adalah memisahkan agama dari kehidupan (faslu din anil hayah).
Bermula dari sini, kafir barat telah berjaya menguasai dan mengawal pemikiran umat Islam bahawa agama dan politik mesti dipisahkan (sebagaimana mereka memisahkannya). Mereka seterusnya mengangkat pemimpin-pemimpin daripada kalangan umat Islam yang sepemikiran dengan mereka dan melalui pemimpin-pemimpin inilah, sistem sekular telah diterap dan dipertahankan.
Apabila setiap detik dan ketika, rakyat dihidangkan dan dijamu dengan pemikiran –pemikiran kufur ini, sudahnya pemikiran ini berjaya meracuni mereka. Apatah lagi, dengan adanya ‘ulama’ yang digaji oleh pemerintah untuk ‘membenarkan’ segala tindakan mereka, maka keyakinan rakyat akan politik dan agama adalah suatu yang terpisah semakin kuat.
‘Ulama’ yang diberi gaji ini akhirnya akan digunakan habis-habisan oleh pemerintah sekular yang ada untuk menyokong pemerintahan dan undang-undang kufur yang diterapkan. Tugas ‘ulama’ hanya dipersempitkan untuk mengeluarkan fatwa dalam perkara-perkara furu’ (ranting) sahaja, manakala dalam bab pemerintahan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, jihad, dasar luar dan dalam negara, tugas ‘ulama’ ini hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah.
Akhirnya, ulama yang sepatutnya bertugas membetulkan dan menasihatkan pemerintah dengan Islam, telah berjaya ‘disekularkan’ oleh pemerintah.
Racun sekular yang telah menular hingga urat saraf umat ini menyebabkan wujudnya umat Islam dan jemaah Islam yang tidak mahu terlibat dengan politik kerana beranggapan bahawa agama dan politik adalah dua perkara yang berbeza.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada orang yang bergelar ulama yang bukan sahaja tidak mahu terlibat dengan politik, malah menyalahkan individu muslim mahupun gerakan-gerakan Islam yang terlibat dalam politik. Kecelaruan ini timbul disebabkan oleh satu perkara asas, iaitu kerana mereka tidak memahami apakah maksud politik (siasah menurut Islam).
Hal ini timbul kerana mereka telah sebati hidup dalam lingkaran politik kufur/sekular yang ada sekarang di mana apa yang mereka lihat hanyalah kekotoran dan kejijikan dalam politik yang diamalkan oleh orang-orang politik yang ada. Politik, bagi mereka adalah suatu yang kotor manakala Islam adalah suatu yang suci, justeru, bagi mereka Islam tidak sama denagn politik atau perlu dipisahkan dari politik. Memang benar , kita bersetuju jika dikatakan politik sekarang adalah kotor dan keji.
Kenapa? Kerana politik yang ada sekarang adalah politik kufur-politik yang datangnya daripada kafir barat, politik yang dikuasai oleh orang-orang yang berkiblatkan barat, politik yang membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah, politik yang dipenuhi dengan penipuan, politik yang dilingkungi ketamakan akan kekayaan dan kerakusan untuk berkuasa, politik dimana seseorang cuba menjatuhkan dan mengaibkan satu sama lain, politik dimana seseorang suka menfitnah satu sama lain, politik yang dipenuhi dengan rasuah, politik yang membenarkan arak, judi, riba serta pergaulan bebas bermaharajalela, politik yang mana sistem dan undang-undangnya dibuat oleh manusia dan pelbagai kekejian lagi.
Dengan kata lain, politik sekarang amat kotor dan keji kerana telah memisahkan agama dengan kehidupan.
Dengan segala kemaksiatan yang ada inilah yang menjadikan umat Islam melihat bahawa politik itu kotor dan jijik sehingga ada sebahagian umat Islam menolak politik. Memang benar kita mesti menolak politik kotor ini kerana ianya adalah politik kufur.
Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh menolak dan hanya membiarkan politik kotor ini terus bermaharajalela dan menguasai kita, bahkan kita wajib menggantikannya denganpolitik Islam (siasah syar’iyyah) yang bersih dan benar. Sesungguhnya inilah apa yang wajib kita lakukan sebagai seorang Muslim.
Kita sedih kerana ada ulama yang tahu akan segala kekejian dan kekotoran yang ada dalam politik sekarang, bahkan menolak politik kerana kekotorannya. Namun ada antara mereka yang rela dan reda dilantik oleh ahli poltik dan terus berkhidmat dengan pemerintah dalam sistem politik yang penuh maksiat ini.
Walhal apa yang wajib dilakukan oleh para ulama ini adalah membersihkan segala kekotoran ini dengan menasihati pemerintah atau ahli-ahli politik yang ada agar kembali mengamalkan politik Islam (siasah syar’iyyah), bukannya hanya duduk semeja atau sepejabat (dengan pemerintah) dan bergelumang dengan sistem kufur dan politik kufur ini.
Sumber: http:/mykhilafah.com/sautun-nahdhah/348-sn150-politik-kufur-vs-politik-islam
Penulisan ini saya dapat dari Harakah, lidah rasmi Parti Islam Se-Malaysia. Bagi saya, hujahnya cukup baik kenapa kita perlu berpolitik ataupun sekurang-kurangnya mengambil tahu perihal politik. Namun, semuanya bergantung kepada kefahaman anda untuk menentukan siapa politikus di Malaysia ini yang sudah mengamalkan siasah syar’iyyah ataupun belum.
Sebelum meneruskan lagi ‘perjalanan’ anda dalam politik, fikirkanlah sesuatu perkara itu berdasarkan ilmu yang sahih dan fakta yang tepat serta kefahaman yang betul, tulus dari hati anda.
1 comment:
teruskan perjuangan tanpa berundur walau selangkah
Post a Comment