29 April 2009

Namaku....

Ramai yang tertanya-tanya kenapa saya menggunakan nama Wan Muhaimin.

Sebenarnya, sejak di Taylor's Uni College lagi saya menggunakan nama itu. Dan ianya hanya di ketahui oleh 'housemates' dan 'classmates' saya sahaja.

Sejarahnya bermula selepas saya baru dilahirkan pada jam 7.30 pagi di Paloh 2, Gua Musang. Mak saya yang saya panggil 'umi' pada mulanya mencadangkan nama Muhaimin.

Akan tetapi, abah saya mahu saya dinamakan dengan nama Wan Ahmad Farouq. Katanya, dia mengagumi seorang gurunya yang bernama Cg Farouq (tidak tahu ejaannya yang sebenar). Menurut abah saya, dia seorang guru yang tegas, jadi dia berharap saya juga menjadi seorang yang tegas. Saya rasa impiannya tidak tercapai.

Saya bukan seorang yang tegas pun. Saya lebih gemar berdiplomasi dan berlemah lembut dengan sesiapa sahaja. Namun adakalanya saya marah, tetapi marah saya itu bertempat. Dan saya rasa, sahabat-sahabat saya juga tahu yang saya bukanlah seorang yang tegas.

Tiba-tiba saya rasa bahawa Muhaimin itu lebih sedap didengar. Sebab itulah saya menggunakan nama Wan Muhaimin sebagai nama timangan.



Itulah sejarahnya. Betul, nama juga merupakan doa kepada seseorang. Oleh itu, panggillah seseorang dengan nama yang disukainya dan mempunyai maksud yang baik.

Saya rasa sudah terjawab persoalan yang dilontarkan kepada saya oleh sahabat-sahabat diluar sana.

22 April 2009

Sedih VS Gelisah

Baru-baru ini, saya menerima panggilan telefon dari seorang sahabat lama.

Dia kini sedang mengikuti program Cambridge ‘A’ Level dan akan tamat pada bulan Jun ini. Kami bertukar-tukar cerita tentang kehidupan masing-masing sekarang ini .

Panggilannya lebih kepada berkongsi rasa dan cerita tentang program persediaannya. Ceritanya, dia akan menduduki peperiksaan akhir pada bulan Mei ini. Dia amat risau dan gelisah tentang masa depannya andai tidak dapat menyambung pelajaran di luar negara.

Andai gagal, malunya bukan kepalang. Sedihnya bukan sebarang. Dia belum bersedia untuk gagal. Perjalanan hidupnya harus berada di atas landasan yang sudah disusun cantik. Andai tergelincir, lambat dan susah untuk diperbetulkan. Hanya yang pernah melalui kegagalan itu tahu akan bagaimana rasa sedihnya.

Manusia secara fitrahnya, merasai perasaan sedih dan risau ataupun gelisah. Beza antara kedua-duanya ialah, risau atau gelisah ialah perasaan kepada perkara yang akan berlaku.

Manakala sedih pula ialah perasaan kepada perkara yang sudah berlaku. Nabi Muhammad sendiri pernah berasa sedih atas kematian bapa saudara dan isterinya yang tercinta. Ini menunjukkan bahawa perasaan sedih itu sememangnya suatu fitrah yang tidak dapat ditolak oleh sesiapa pun.


(Sekadar Hiasan)

Kita berlindung dari rasa sedih bukan dengan menghindarinya, tetapi agar perasaan itu tidak merosakkan iman kita.

Kita tidak tahu sebesar mana ujian Allah terhadap kita. Kita juga tidak tahu bila Allah akan menguji kita. Mungkin ditengah kegembiraan kita bersama rakan-rakan, kita menerima berita yang menyedihkan. Boleh jadi ketika kita sedang ditimpa kesusahan, Allah datangkan pula kesusahan lain yang lebih berat. Firman Allah:

“ Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.”
(Al-Baqarah : 216)

Mudah-mudahan kita lebih bersedia dengan segala ujian dan dugaan Allah ke atas kita. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.

Apa ertinya hidup bertuhan andai diri tidak reda dengan ketentuannya.

16 April 2009

Ada Apa dengan Politik II

“Sejak kemunduran berfikir melanda umat Islam dan setelah jatuhnya Daulah Islam pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), keseluruhan negara umat Islam telah diperintah dengan sistem sekular yang berasal dari barat dimana asas/tunjang pemerintahnya adalah memisahkan agama dari kehidupan (faslu din anil hayah).
Bermula dari sini, kafir barat telah berjaya menguasai dan mengawal pemikiran umat Islam bahawa agama dan politik mesti dipisahkan (sebagaimana mereka memisahkannya). Mereka seterusnya mengangkat pemimpin-pemimpin daripada kalangan umat Islam yang sepemikiran dengan mereka dan melalui pemimpin-pemimpin inilah, sistem sekular telah diterap dan dipertahankan.

Apabila setiap detik dan ketika, rakyat dihidangkan dan dijamu dengan pemikiran –pemikiran kufur ini, sudahnya pemikiran ini berjaya meracuni mereka. Apatah lagi, dengan adanya ‘ulama’ yang digaji oleh pemerintah untuk ‘membenarkan’ segala tindakan mereka, maka keyakinan rakyat akan politik dan agama adalah suatu yang terpisah semakin kuat.

‘Ulama’ yang diberi gaji ini akhirnya akan digunakan habis-habisan oleh pemerintah sekular yang ada untuk menyokong pemerintahan dan undang-undang kufur yang diterapkan. Tugas ‘ulama’ hanya dipersempitkan untuk mengeluarkan fatwa dalam perkara-perkara furu’ (ranting) sahaja, manakala dalam bab pemerintahan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, jihad, dasar luar dan dalam negara, tugas ‘ulama’ ini hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah.
Akhirnya, ulama yang sepatutnya bertugas membetulkan dan menasihatkan pemerintah dengan Islam, telah berjaya ‘disekularkan’ oleh pemerintah.
Racun sekular yang telah menular hingga urat saraf umat ini menyebabkan wujudnya umat Islam dan jemaah Islam yang tidak mahu terlibat dengan politik kerana beranggapan bahawa agama dan politik adalah dua perkara yang berbeza.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada orang yang bergelar ulama yang bukan sahaja tidak mahu terlibat dengan politik, malah menyalahkan individu muslim mahupun gerakan-gerakan Islam yang terlibat dalam politik. Kecelaruan ini timbul disebabkan oleh satu perkara asas, iaitu kerana mereka tidak memahami apakah maksud politik (siasah menurut Islam).

Hal ini timbul kerana mereka telah sebati hidup dalam lingkaran politik kufur/sekular yang ada sekarang di mana apa yang mereka lihat hanyalah kekotoran dan kejijikan dalam politik yang diamalkan oleh orang-orang politik yang ada. Politik, bagi mereka adalah suatu yang kotor manakala Islam adalah suatu yang suci, justeru, bagi mereka Islam tidak sama denagn politik atau perlu dipisahkan dari politik. Memang benar , kita bersetuju jika dikatakan politik sekarang adalah kotor dan keji.
Kenapa? Kerana politik yang ada sekarang adalah politik kufur-politik yang datangnya daripada kafir barat, politik yang dikuasai oleh orang-orang yang berkiblatkan barat, politik yang membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah, politik yang dipenuhi dengan penipuan, politik yang dilingkungi ketamakan akan kekayaan dan kerakusan untuk berkuasa, politik dimana seseorang cuba menjatuhkan dan mengaibkan satu sama lain, politik dimana seseorang suka menfitnah satu sama lain, politik yang dipenuhi dengan rasuah, politik yang membenarkan arak, judi, riba serta pergaulan bebas bermaharajalela, politik yang mana sistem dan undang-undangnya dibuat oleh manusia dan pelbagai kekejian lagi.

Dengan kata lain, politik sekarang amat kotor dan keji kerana telah memisahkan agama dengan kehidupan.

Dengan segala kemaksiatan yang ada inilah yang menjadikan umat Islam melihat bahawa politik itu kotor dan jijik sehingga ada sebahagian umat Islam menolak politik. Memang benar kita mesti menolak politik kotor ini kerana ianya adalah politik kufur.
Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh menolak dan hanya membiarkan politik kotor ini terus bermaharajalela dan menguasai kita, bahkan kita wajib menggantikannya denganpolitik Islam (siasah syar’iyyah) yang bersih dan benar. Sesungguhnya inilah apa yang wajib kita lakukan sebagai seorang Muslim.
Kita sedih kerana ada ulama yang tahu akan segala kekejian dan kekotoran yang ada dalam politik sekarang, bahkan menolak politik kerana kekotorannya. Namun ada antara mereka yang rela dan reda dilantik oleh ahli poltik dan terus berkhidmat dengan pemerintah dalam sistem politik yang penuh maksiat ini.

Walhal apa yang wajib dilakukan oleh para ulama ini adalah membersihkan segala kekotoran ini dengan menasihati pemerintah atau ahli-ahli politik yang ada agar kembali mengamalkan politik Islam (siasah syar’iyyah), bukannya hanya duduk semeja atau sepejabat (dengan pemerintah) dan bergelumang dengan sistem kufur dan politik kufur ini.

Sumber: http:/mykhilafah.com/sautun-nahdhah/348-sn150-politik-kufur-vs-politik-islam

Penulisan ini saya dapat dari Harakah, lidah rasmi Parti Islam Se-Malaysia. Bagi saya, hujahnya cukup baik kenapa kita perlu berpolitik ataupun sekurang-kurangnya mengambil tahu perihal politik. Namun, semuanya bergantung kepada kefahaman anda untuk menentukan siapa politikus di Malaysia ini yang sudah mengamalkan siasah syar’iyyah ataupun belum.

Sebelum meneruskan lagi ‘perjalanan’ anda dalam politik, fikirkanlah sesuatu perkara itu berdasarkan ilmu yang sahih dan fakta yang tepat serta kefahaman yang betul, tulus dari hati anda.

12 April 2009

Bila Terasa Rindu

Rindu? Pelik bila terfikirkan tentangnya..entahlah.

Sebenarnya, saya memang sangat merasai perasaan itu. Rindu pada sahabat-sahabat dan teman-teman seperjuangan samada di SMAPK ataupun di Taylor's Uni College.

Mereka sangat memberi erti dan rasa pada kehidupan saya ini. Perasaan rindu amat menggamit saya.

Segala macam memori tiba-tiba menerpa ingatan saya. Hidup pasti sunyi dan sepi tanpa mereka. Itulah yang saya harungi sekarang ini.

Pengalaman mengajar saya bahawa sahabat-sahabat ini amat mengisi ruang hidup saya yang agak suram dengan pelbagai masalah dunia yang tak pernah sudah..

Mereka penghibur di kala suka dan duka. Sebagai remaja yang normal, kawan adalah teman yang paling rapat dengan saya. Bukan bermaksud mengenepikan peranan keluarga, akan tetapi itulah hakikatnya.

Semua orang mengakui bahawa remaja paling rapat dengan rakan seusia, lebih-lebih lagi yang berkongsi banyak perkara dengan diri mereka sendiri.

Ya, itulah yang saya alami. Bila saya bersendirian, saya pasti mengenang kembali memori saya dengan mereka. Ini sebahagian daripada sahabat dan teman saya, yang tak mungkin saya lupakan seumur hidup saya.

Dan satu persoalan untuk sahabat semua, bila ye kita akan dapat bersua kembali?