08 September 2009

83 tahun 4 bulan



Malam kemuncak Ramadhan makin hampir. Waktunya belum pasti namun harinya sudah dijanjikan pada 10 malam terakhir.

Amat-amat rugi jika kita tidak dapat menemukannya. Atau paling kurang pun, kita berusaha sepenuh daya usaha untuk mencarinya. Sepuluh malam terakhir, masjid dan surau makin sedikit pengunjungnya. Yang konsisten hanyalah tetamu ketika iftar, tidak pada solat Isya’ dan Tarawikhnya.

Kita makin dimomokkan dengan Hari Raya setiap hari lebih-lebih lagi waktunya makin hampir. Bahkan sebelum bermula bulan Ramadhan lagi kita sudah dihidangkan dengan iklan Hari Raya Puasa.Ramai yang tidak berpuasa tapi bersungguh-sungguh menyambut Hari Raya dengan pelbagai persiapan. Sedangkan untuk menyambut bulan Ramadhan tidak pula dipersiapkan dengan sebegitu rupa.

Walhal, Hari Raya adalah hadiah dari Allah SWT kepada hamba-hambaNYA yang menang dalam “pertempuran melawan hawa nafsu”. Jadi, adakah patut kita beraya sakan jika puasa pun tidak penuh?

Namun, itu bukan persoalan utamanya pada kali ini. Yang sangat diharapkan ialah agar kita sebagai hamba Allah mencuba untuk mengejar anugerah Allah ini, iaitu LailatulQadr.

Inilah satu-satunya anugerah agung dari Allah kepada insan yang terpilih, insan yang berpuasa kerana mengharapkan keredhaan dan keampunan dariNYA. Hanya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang berpeluang mendapat nikmat malam yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Kepada diri saya dan pembaca-pembaca sekalian, rebutlah anugerah agung dari Allah ini. Moga-moga kita mendapat keampunan dan redha Allah di dunia dan di akhirat. Ayuh kita mengejarnya bersama-sama! InsyaAllah

No comments: